Tuesday 14 May 2013



Gadis maut ditembak



gadis dijumpai di dalam kereta berhampiran Puchong Perdana pagi tadi.

oleh: Harizah Hanim Mohamed

PUCHONG, 8 Mei 2013 - Seorang gadis ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan dua das tembakan dikepala dekat Puchong Perdana pagi tadi.
Mangsa yang ditemui pada jam enam pagi, ditemui di dalam kereta yang didaftarkan di atas nama seorang ahli politik dan perniagaan tempatan dalam keadaan memegang sepucuk pistol jenis revolver dan pihak polis melaporkan tiada kesan pergelutan dan rompakan dikesan di tempat kejadian.
Menurut ASP Syed Jamal Aqil bin Syed Jamalullail Al- Barakbah, pegawai  penyiasat bahagian jenayah, mangsa telah dikenal pasti sebagai Vellu Letchumy A/P Vello Sami, berumur 19 tahun dan berasal dari Johor.
“Kes kematian ini masih disiasat dibawah akta 325, iaitu membunuh dengan sengaja namun pihak polis tidak menolak kemungkinan mangsa membunuh diri memandangkan tiada kesan perkosaan ditemui pada badan mangsa”.
ASP Jamal Aqil turut mengesahkan penemuan pistol revolver yang dikatakan mempunyai dua kesan cap jari milik mangsa dan orang ketiga menguatkan lagi bukti bahawa mangsa telah dibunuh namun pihak polis menyatakan  bahawa kes terbabit masih di dalam siasatan awal.
Hasil bedah siasat menunjukkan bahawa mangsa meninggal dunia pada jam tiga pagi, dan sedang hamil tiga bulan.
Mangsa yang bekerja sebagai setiausaha di sebuah syarikat logistik di pelabuhan Klang dikatakan mempunyai kaitan dengan ahli politik dan perniagaan dan dipercayai mengandung anak ahli perniagaan terbabit.
Ahli perniagaan terbabit yang berusia dalam lingkungan 60 tahun dikatakan sedang berada di India atas urusan perniagaan adalah merupakan suspek utama di dalam kes ini berdasarkan bukti kamera litar tertutup yang merakam perlakuan mangsa dan ahli perniagaan di sebuah hotel.
Berdasarkan siasatan awal, pihak polis mendapati nombor telefon yang terakhir dihubungi mangsa adalah milik ahli perniagaan terbabit.
Buat sementara waktu ini, masih tiada tangkapan dibuat dan pihak polis sedang menghubungi keluarga mangsa yang berada di Johor untuk menuntut mayat mangsa.#

No comments:

Post a Comment